10 Tips Bercuti Ke Kundasang Yang Anda Perlu Ketahui

Ramai yang suka bercuti kan? Saya dan famili pun suka bercuti. Alhamdulillah, dah banyak tempat menarik yang kami pergi di dalam Malaysia ni. Tetapi, dalam banyak tempat best untuk bercuti di Malaysia ni, kami masih belum berkesempatan untuk bercuti ke Sabah.

Sabah adalah merupakan destinasi percutian dalam Malaysia yang cukup menarik. Ramai yang dah ke Sabah akan pulang dengan seribu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Salah satu tempat menarik di Sabah yang sering diperkatakan orang ialah Kundasang.

10 Tips Bercuti Ke Kundasang, Sabah

Saya ingin berkongsi kepada anda beberapa tips untuk bercuti ke Kundasang, Sabah. Perkongsian tips ini telah mendapat lebih daripada 40 ribu perkongsian selain 15 ribu komen setakat post ini ditulis.

Ya, memang ramai yang telah berkunjung dan bercuti di Kundasang ini, dan lebih ramai yang teringin untuk pergi ke sini. Bukti bahawa Kundasang adalah satu satu destinasi percutian yang menjadi perhatian ramai.

Jom ikuti tips ini .. pasti akan berguna nanti bila sudah ada bajet untuk bercuti ke Kundasang, Sabah.

1. Ambil Flight Awal / Jalan Awal (Pagi)

Sesiapa yang bercadang terus ke Kundasang disyorkan ambil flight awal ke Kota Kinabalu (sama ada pagi/tengahari/awal petang). Kalau flight sampai Kota Kinabalu (KK) lewat petang atau malam sebaiknya bermalam di KK dulu, keesokan paginya baru gerak ke Kundasang dengan kenderaan.

Sebab apa? Sila ke point seterusnya ..

2. Perjalanan Berkenderaan Ambil Masa 2 Jam

Perjalanan KK ke Kundasang ambil masa dalam 2 jam. Mula-mula akan melalui fasa jalan lurus dari KK-Tuaran-Tamparuli. Kemudian selepas melalui Tamparuli barulah memasuki fasa jalan berbukit-bukit hingga ke Kundasang.

Sila guna aplikasi Waze ke Kundasang sebab signboard ke sana tak banyak. Kalau jumpa signboard pun tulis ke Ranau, boleh ikut juga sebab Ranau terletak selepas Kundasang.

Biasanya jalan berbukit mulai gelap berkabus dalam jam 5.30 ptg – 6.00 ptg. Tidak digalakkan memandu kepada mereka yg tidak biasa melaluinya sebab agak bahaya.

3. Sila Isi Minyak Di Kota Kinabalu

tips bercuti ke Kundasang, Sabah

Kalau ada yang nak isi minyak ke … cucuk ATM ke … tunaikan solat ke … nak buang air ke … nak makan-makan ke … nak beli snacks ke …  sila buat siap-siap di area KK.

Susah nak jumpa stesen minyak dalam perjalanan. Kalau terlupa? Jangan risau kerana stesen minyak terakhir (kalau tak silap) ada stesen minyak Shell betul-betul di sebelah Rumah Terbalik Tamparuli.

Kalau terlupa juga, berpusing-pusing nanti nak mencari stesen minyak di Kundasang. Pun begitu, di pekan Ranau atas lagi dalam 20 minit dari pekan Kundasang ada stesen minyak Petronas.

4. Tarikan Dalam Perjalanan

Apabila melalui kawasan Tamparuli bolehlah singgah Rumah Terbalik & 3D Wonder Museum betul-betul di tepi jalan belah kiri. Kalau nak singgah Jambatan Tamparuli kena pergi ke arah pekan. Terpulang nak pergi tempat-tempat tarikan ini semasa dalam perjalanan pergi mahupun waktu pulang nanti ke KK.

5. Untuk Muslim – Jangan Terbeli Sinalau Bakas

Selepas simpang Tamparuli nak ke Kundasang ada beberapa gerai tepi jalan kiri kanan. Tak perlu susah-susah singgah ya. Gerai-gerai tu menjual Sinalau Bakas ataupun babi hutan salai. Sila teruskan perjalanan ok!

6. Tempat Tarikan Kundasang

Tempat-tempat tarikan ni jaraknya jauh-jauh sikit antara satu sama lain. Sebelum sampai Kundasang,  akan melalui Pekan Nabalu. Bolehlah singgah beli souvenirs murah-murah di sana berbanding di KK.

Terus lagi jumpa Kinabalu Park (starting point hiking Gunung Kinabalu).

Terus lagi sampai jumpa roundabout sayur Kobis situlah Pekan Kundasang. Bolehlah pergi ke Desa Dairy Farm, War Memorial, etc.

Jangan lupa singgah Masjid Kundasang atas bukit tu dan juga gerai-gerai jual sayur, buah-buahan yang dijual dengan harga murah di tepi jalan.

7. Kedai Makan

tips bercuti ke Kundasang, Sabah

Tak banyak kedai makan di Kundasang. Ada yangg suka fastfood bolehlah makan di KFC. Kalau nak cari tempat makan, roundabout Kobis tu dari KK belah kanan, ada Intan Restaurant & Hidayah Restaurant.

Hanya order nasi putih & sup panas-panas pun dah ok, dan memang sedap dengan cuaca sejuk di Kundasang. Oh ya, jangan lupa untuk mencuba Chicken Wings Kundasang. Memang terbaik.

8. Pemandangan Gunung Cantik

Jauh-jauh datang ke Kundasang mestilah nak tengok Gunung Kinabalu kan? Gunung Kinabalu ni jelas kelihatan mulai jam 6 pagi hingga 10 pagi. Lebih kurang jam 11 pagi gunung mulai dilitupi kabus tebal dan awan.

Tidurlah di Kundasang satu malam kalau tak nak terlepas peluang keemasan tu!


Ada banyak pilihan hotel dan homestay. Sila booking lebih awal. Best bila bangun pagi-pagi dalam kesejukan dapat melihat pemandangan Gunung Kinabalu yang menakjubkan. Subhanallah, anda pasti akan jatuh cinta!

Di Kundasang sejukkk sangat tau! Lagi-lagi waktu malam dan juga waktu hujan. Boleh menggigil-gigil badan dibuatnya.

9. Desa Dairy Farm (DDF)

Tengok orang lain upload gambar DDF cantik-cantik dengan latar belakang Gunung Kinabalu, dengan pemandangan kawasan ladang menghijau, dengan lembu-lembu comel terasa sangat best. Tetapi hakikatnya, bila pergi ke DDF .. hanya nampak kabus, tak nampak gunung pun.

Jadi? Bagaimana nak dapatkan gambar-gambar cantik pemandangan di Desa Dairy Farm ni?

Tipsnya pergi sana sebelum jam 10 pagi. Bila DDF buka jam 8 pagi tu pastikan sudah ada di sana. Nikmatilah pemandangan di sana puas-puas. Jangan lupa minum susu fresh yang amat sedap. Aiskrim pun sedap!

10.Tempat Tarikan Ranau

Apa yang ada di Ranau? Di situlah ada Poring Hotspring (kolam air panas, canopy walk, etc), Sabah Tea Garden dan Fish Massage Kg Luanti. Perjalanan dari Kundasang ke Pekan Ranau mengambil masa dalam 20 minit.

Isi minyak siap-siap di Petronas Ranau. Tempat makan pun lebih banyak pilihan di Ranau.

Dari Kundasang ke Poring dalam 45 minit. Dari Kundasang ke Sabah Tea dalam 1 jam. Betul-betul sebelah simpang masuk Sabah Tea ada Fish Massage. Jangan terlepas tau! Kalau terus lagi alamatnya ke Sandakan pula!

Okey. Dah dapat sedikit sebanyak tips percutian ini?

Perkongsian tips ni hanya untuk memudahkan percutian atau perjalanan mereka yang datang bercuti sendiri…tiada pakej percutian yang disediakan, dan bukan travel agent/tour guide service atau seumpamanya.

Jika tak berapa yakin nak travel ke sini, boleh sahaja dapatkan banyak servis travel agent ke Kundasang.

Moga post ini dapat membantu mereka yang mahu ke sana. In Sha Allah, jika kami ada kesempatan dan bajet, kami akan bercuti ke Kundasang.

Leave a Comment